Strok Atau Angin Ahmar
Penyebab Maut Utama
Apabila mengalami kesesakan lalu lintas, kita boleh membina jambatan dan jalanraya untuk melegakan kesesakan trafik; apabila jantung kita ditimpa oleh masalah “kesesakan lalu lintas”, di mana saluran darah jantung telah tersumbat sehingga mempengaruhi aliran darah. Dalam keadaan sebegini, doktor boleh menggunakan pembedahan stent untuk membuka semula saluran darah kardiovaskular yang sudah tersumbat.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja saluran darah serebral (otak) disekat, masalah kesihatan ini boleh menjadi agak serius dan rumit, kerana strok pendarahan (Bahasa Inggeris : Haemorrhagic Stroke) atau stroke iskemia (Bahasa Inggeris : Ischaemic Stroke) akan berlaku secara tiba-tiba. Sesetengah pesakit boleh bertahan dan hidup selepas serangan strok, tetapi besar kemungkinan mereka akan menghadapi pelbagai kesan sampingan seperti lumpuh badan atau kelemahan otot kemudian.
Strok ialah salah satu pembunuh utama di kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh membunuh seseorang dengan serta-merta seperti serangan jantung akut. Menurut laporan Persatuan Strok Malaysia (NASAM), strok adalah pembunuh ketiga selepas kanser dan penyakit jantung.
Strok merujuk kepada keadaan di mana beberapa perubahan buruk yang berlaku dalam saluran darah otak, akhirnya mengganggu bekalan darah, oksigen, dan khasiat ke sel-sel otak. Dalam kes-kes yang lebih serius, kerosakan sel-sel otak atau kematian mungkin akan berlaku. Penyakit ini memberi kesan-kesan kepada pelbagai fungsi fizikal yang dikawal oleh sistem saraf pusat, misalnya aktiviti-aktiviti fizikal dan pertuturan, sehingga pesakit-pesakitnya boleh hilang keupayaan menjaga diri sendiri.
Strok juga dinamakan “Angin Ahmar”. Apabila serangan strok berlaku, pesakit boleh menjadi pengsan secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit masih berwaspada, mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti kelumpuhan saraf muka, kelemahan otot muka, dan kelemahan badan serta mempunyai kesukaran untuk bercakap. Ketidakhadiran atau kelewatan rawatan kecemasan, besar kemungkinan boleh menyebabkan kelumpuhan atau kekebasan.
Strok dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama ialah strok pendarahan, disebabkan oleh tekanan darah tinggi atau penyakit saluran darah otak, seperti tumor otak, di mana mereka boleh menyebabkan pepecahan saluran darah otak.
Jenis kedua ialah strok iskemia. Penyakit strok ini adalah disebabkan oleh arteriosklerosis (pembentukan plak-plak) otak, stenosis saluran darah yang mengakibatkan halangan, atau darah beku mengalir melalui saluran darah otak, sehingga menyebabkan oklusi (penyekatan).
Selain rawatan kecemasan strok, rawatan pemulihan pasca pembedahan juga dianggap sebagai kunci untuk menentukan sama ada pesakit boleh kembali ke kehidupan normal. Dalam rawatan pemulihan perubatan Barat, ubat-ubatan dan terapi fizikal adalah dianggap rawatan-rawatan utama, manakala dari segi perubatan tradisional, akupunktur mungkin akan digunakan untuk mencapai kesan-kesan pemulihan di kalangan pesakit strok.
Strok Pendarahan & Strok Iskemia
Strok Pendarahan
Saluran darah otak pecah. Ia akan membawa pendarahan dan kerosakan otak
Strok Iskemia
saluran darah otak tersumbat mengakibatkan kekurangan oksigen lalu kerosakan otak.
Strok – Empat Jenis Penyebab Utama
Hampir 80% pesakit strok di Malaysia disebabkan oleh strok iskemia. Terdapat banyak sebab yang membawa kepada penyakit ini, termasuk beberapa faktor risiko yang tidak boleh diubahsuai, seperti umur dan genetik. Walau bagaimanapun, faktor-faktor risiko yang boleh diubahsuai didapati berkait rapat dengan “empat jenis penyebab utama.” ─ iaitu, tekanan darah tinggi, kolesterol, diabetes dan penyakit jantung.
Terdapat kajian-kajian menunjukkan bahawa purata umur pesakit strok di Malaysia adalah 62 tahun. Kini ada suatu haluan yang membimbangkan sedang berlaku di Malaysia, dengan nyata ,didapati umur pesakit strok telah semakin muda, justeru itu, tidaklah jarang para doktor akan merawat pesakit-pesakit strok berasal daripada golongan berusia empat puluhan.
Tekanan jiwa dan tabiat pemakanan yang buruk serta kekurangan senaman adalah punca-punca strok di kalangan pesakit yang muda. Tekanan darah tinggi sudah dikenalpasti sebagai penyebab utama. Di samping itu, strok pendarahan didapati lebih kerap menyerang kumpulan yang lebih muda. Sudah tentu, kesan-kesan negatif kolesterol darah juga memainkan peranan yang tidak boleh diabaikan. Pengambilan garam mesti dikurangkan, kerana paras garam yang tinggi di dalam darah akan meningkatkan tekanan darah.
Selain kolesterol dan tekanan darah tinggi, penyakit jantung juga dianggap sebagai salah satu punca utama strok. Orang gemuk mempunyai risiko yang lebih tinggi mengidapi strok berbanding orang biasa. Oleh itu, tanpa mengira berat badan, setiap orang harus melakukan senaman sekurang-kurangnya 3 hingga 4 kali seminggu selama 40 minit, gaya hidup sihat ini berupaya mengurangkan risiko strok sebanyak 30%. Kepada golongan tua yang tidak boleh melakukan apa-apa senaman gigih, mereka boleh buat senaman ringan seperti berjalan untuk mengurangkan risiko strok pada masa akan datang.
Strok pendarahan boleh berlaku secara tiba-tiba
Jangan abaikan sebarang gejala
Gejala-gejala strok iskemia dan pendarahan adalah kira-kira sama, di mana pesakit akan menunjukkan kelemahan otot, kehilangan fungsi pertuturan, dan kehilangan waspada secara beransur-ansur, tetapi gejala-gejala jenis iskemik didapati berlangsung dengan lebih perlahan berbanding strok pendarahan. Gejala-gejala strok iskemia berlaku dan berubah satu jam demi satu jam, sedangkan kadar perkembangan strok pendarahan adalah lebih pesat dan cepat, maka membawa risiko yang lebih tinggi.
Strok pendarahan terjadi di dalam otak, termasuk ganglia basal, kapsul dalaman dan luaran, thalamus, pons dan serebellum. Terutamanya pon, yang mengandungi banyak nukleus-nukleus saraf kranial, apabila pendarahan berlaku di sini, ia tidak boleh dikeluarkan melalui pembedahan. Walaupun pesakit cukup bernasib baik dan bertahan hidup, dia mungkin mengalami banyak kesan-kesan sampingan, seperti mata akan mempunyai penglihatan berganda, kelumpuhan fizikal dan sebagainya. Bagaimanapun, jika strok di bahagian serebellar, rawatan pembedahan yang tepat pada masanya akan membawa peluang pemulihan yang sangat tinggi dengan hasil yang memuaskan.
Walau bagaimanapun, beberapa jenis strok adalah mudah diabaikan, terutamanya infarksi lakuna, yang berlaku di bahagian depan otak. Jika anda mendapati bahawa orang tua mempunyai masalah ingatan dan melupakan perkara-perkara dengan mudah, orang ramai menganggapnya sebagai proses penuaan, oleh itu ia biasanya diabaikan begitu sahaja. Kita mesti mencari siasatan lanjut untuk menolak kemungkinan strok. Sekiranya terdapat tanda-tanda strok, kita mesti mendapatkan diagnosis dan rawatan perubatan secepat mungkin.
Serangan iskemia sementara (Bahasa Inggeris, Transient Ischaemic Attack, TIA) adalah episod singkat di mana gangguan aliran darah berlaku di dalam otak. Tubuh secara automatik akan kembali normal dalam masa 24 jam, sementara gejala-gejala strok akan berlarutan lebih dari 24 jam. Kedua-dua pesakit TIA dan strok perlu mendapatkan rawatan perubatan segera, dan ancaman TIA tidak boleh diabaikan kerana ia boleh menjadi pendahulu kepada strok kemudian.
Jika TIA adalah pendahulu serangan strok, adakah ini bermakna bahawa setiap pesakit strok akan mengalami TIA?
Bukan setiap serangan strok berlaku sedemikian. Sebenarnya, tidak semua pesakit strok akan mengalami TIA. Sebagai contoh, oleh kerana kehadiran beberapa komplikasi serius seperti halangan saluran darah yang teruk bersama-sama kejadian penyakit lain, serangan strok boleh terjadi tanpa melalui fasa TIA.
Kadar kematian pesakit strok di Malaysia didapati agak tinggi. Dipercayai salah satu sebab utama adalah kerana ahli-ahli keluarga pesakit-pesakit tidak memperolehi pengetahuan yang mencukupi terhadap rawatan pemulihan strok.
80% hanya memerlukan rawatan farmakologi
Tidak semua kes strok memerlukan pembedahan
Strok iskemia dan strok pendarahan mempunyai patologi yang berbeza. Jenis pertama biasanya melibatkan tiga arteri utama otak, dan berupaya menyebabkan seperempat otak mengalami kekurangan oksigen. Strok yang disebabkan oleh saluran darah kecil tersumbat adalah biasa, di mana keadaan pemulihannya mungkin tidak optimistik. Jika saluran darah utama tersumbat, risiko strok akan bertambah lebih tinggi.
Mengenai strok iskemia, doktor boleh menggunakan ubat antikoagulasi untuk mencairkan darah bekuan di saluran darah tersumbat. Tetapi cara ini hanya berkesan untuk pesakit-pesakit yang dapat dimasukkan ke dalam hospital pada masa 4 jam pertama, selepas serangan strok berlaku. Jika melebihi 4 jam pertama, otak pesakit akan membengkak, oleh itu, pesakit mungkin perlu pembedahan otak, supaya mengurangkan tekanan dan membolehkan rawatan lanjut. Malangnya, ramai orang pada masa kini masih mempunyai kesedaran yang sangat rendah terhadap rawatan kecemasan strok. Kebanyakan pesakit strok hanya dihantar ke hospital sekitar 8 jam selepas serangan strok berlaku. Kewaspadaan pesakit menjadi sangat rendah, dan peluang pemulihan juga berkurangan akibat kelewatan menerima rawatan.
Tidak semua pesakit strok memerlukan pembedahan. Doktor mesti memutuskan sama ada menggunakan pembedahan bergantung kepada lokasi strok pesakit dan kebarangkalian pemulihan selepas pembedahan.
Doktor mesti terlebih dahulu menjelaskan kepada ahli keluarga mengenai keadaan pesakit strok. Sekiranya pembedahan dianggap tidak berkesan untuk pesakit, maka tidak ada sebab untuk melaksanakannya sama sekali. Berdasarkan pengalaman klinikal masa lalu, hanya kira-kira 20% pesakit strok yang memerlukan pembedahan, dan selebihnya 80% pesakit, hanya memerlukan rawatan farmakologi. Lagipun, lokasi pendarahan setiap pesakit pun tidak semestinya sama, ditambah pula dengan variasi fizikal semasa dan kehadiran penyakit lain pesakit, jadi rawatan pesakit haruslah diubahsuai dengan sewajarnya.
Tanpa menghiraukan pesakit atau keluarganya, orang ramai mesti faham bahawa matlamat pembedahan bukanlah untuk merosakkan sel yang masih terselamat. Ia juga bertujuan untuk membuang bekuan darah dan mengurangkan tekanan, supaya bahagian otak yang masih belum rosak dapat dikekalkan kemudian.
Kadar kematian pesakit strok di Malaysia memang agak tinggi, dengan satu pertiga pesakit yang mati dalam tempoh satu bulan kerana komplikasi-komplikasi yang kerap berlaku selepas serangan strok. Salah satu sebab utama adalah bahawa keluarga pesakit kurang memahami proses pemulihan strok.
Mengikut rekod terkini, dalam tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2014, terdapat 7,688 kes strok yang direkodkan di hospital-hospital. Purata bilangan serangan strok adalah 4 kali setiap hari, dengan lebih ramai pesakit-pesakit di kalangan lelaki, iaitu sebanyak 55% daripada jumlah bilangan strok.
Perlu diperhatikan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kes strok iskemia telah meningkat lebih banyak berbanding dengan kes-kes strok pendarahan. Peningkatan tahunan strok iskemia ialah 29.5%, sementara strok pendarahan adalah 18.7%, statistik ini menunjukkan bahawa bilangan pesakit strok di Malaysia semakin meningkat setiap tahun.
Gangguan tidur jangka panjang meningkatkan risiko strok
Masalah strok tidak boleh dipisahkan dari penyakit jantung, kolesterol, tekanan darah tinggi dan kencing manis. Di samping itu, terdapat satu lagi risiko yang telah lama diabaikan, iaitu sindrom tidur apnea.
Banyak orang berdengkur dengan kuat selepas mereka tidur, ramai orang mempuyai fikiran tersilap dan menganggap kejadian ini hanya disebabkan oleh tabiat tidur biasa atau keletihan berkerja. Sebenarnya, ini mungkin sejenis masalah yang berkaitan dengan sistem pernafasan. Masalah begini berupaya menyebabkan strok kemudian. Oleh demikian, pesakit-pesakit tidak patut memandang ringan terhadap kejadian ini!
Jika seseorang mempunyai “irama” semasa berdengkur, bunyi berdengkur berkembang dari lembut ke kuat, kemudian berhenti, lalu mengulangi irama yang sama. Tanda-tanda ini berlaku kerana saluran pernafasan atas (hidung dan orofaring) telah disekat oleh lidah semasa penyedutan udara. Oleh itu, otak pesakit mungkin akan kekurangan oksigen, dan pesakit tersebut tidak dapat memasuki keadaan tidur yang mendalam. Apabila lidah kembali ke kedudukan asalnya dan pesakit terus tidur, dia akan mengulangi proses pernafasan yang sama dan menyebabkan berdengkur berirama.
Daripada pandangan orang yang mengalami gangguan tidur, walaupun mereka sudah tidur cukup lama, mereka masih akan merasa letih semasa bangun pada waktu pagi. Ini kerana pesakit-pesakit sebegini tidak dapat tidur secara mendalam sama sekali. Jika simptom-simptom ini berterusan, pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada pakar Telinga, Hidung, Tekak (ENT). Doktor ENT akan memeriksa sama ada gangguan tidur telah berlaku, kerana gangguan sedemikian adalah salah satu jenis risiko serangan strok yang tidak boleh dibiarkan sahaja.