Rhinitis Alergi & Sinusitis
Memerlukan diagnosis muktamad kerana gejala-gejala yang bertindih
Kes Kajian 1 :
Soalan: Anak saya berusia 7 tahun. Dia mengalami penyakit sinusitis yang menyebabkan sakit kepala hampir setahun. Walaupun doktor memberikan ubat semburan hidung, keadaannya tidak bertambah baik sehingga hari ini. Bolehkah saya tahu bagaimana menyelesaikan masalah ini?
Pertama sekali, doktor mesti menentukan sama ada ia adalah rhinitis alergi atau sinusitis, kerana kedua-dua penyakit ini menunjukkan gejala-gejala yang agak sama dan kadang-kadang bertindih antara satu sama lain. Oleh itu, siasatan terperinci diperlukan sebelum rawatan diberi.
Rhinitis Aalergi: seperti namanya, adalah sejenis alergi hidung yang disebabkan oleh alam sekitar, alergen, keturunan, di mana kehadiran mereka boleh membawa keradangan mukosa hidung. Jika keadaan ini berterusan, ia boleh mengakibatkan penyakit sinusitis. Gejala-gejala rhinitis alergi termasuk hidung gatal, mata merah, hidung berair (cecair jelas), hidung tersumbat, bersin, dan lain-lain. Gejala-gejala tersebut boleh dirawati dengan menggunakan kaedah-kaedah berikut:
- Anti-histamine untuk mengurangkan rembasan hidung
- Pembersihan rongga hidung
- Penyembur steroid hidung
Sinusitis: Sinus berada di rongga tulang muka berhampiran mata dan rongga nasofaring, di mana ia dipenuhi dengan udara dan dihubungkan dengan rongga hidung. Sinusitis secara amnya merujuk kepada keradangan sinus. Reaksi keradangan boleh menyebabkan pembengkakan mukosa hidung, peningkatan rembasan hidung, dan halangan sinus ostium, dan menggalakan pertumbuhan dan pembiakan bakteria. Gejala-gejala sinusitis termasuk pelepasan lendir hidung yang berterusan dan berwarna hijau kekuningan, halangan hidung kronik, peningkatan rembasan hidung, dan batuk, terutamanya apabila tidur dan bangun. Sinusitis juga menyebabkan penghembusan berbau dan sakit kepala.
Soalan: Mungkin doktor akan mengesyorkan pembedahan?
Secara umum, jika kanak-kanak mengidapi penyakit sinusitis, biasanya mereka akan menghadapi sakit kepala atau pening. Ibu bapa harus membawa anak-anak mereka ke jabatan pediatrik untuk melakukan pemeriksaan terperinci. Pemeriksaan fungsi-fungsi hidung biasanya dilakukan di jabatan Otorhinolaringologi. Sekiranya perlu, prosedur pengimejan seperti sinus X-ray atau CT Para sinuses akan dijalankan juga.
Sinusitis akut biasanya ditemani dengan demam; pilihan-pilihan rawatannya termasuk antibiotik, analgesik, anti-histamine, pembersihan hidung, dan penggunaan nebuliser hidung.
Dalam kes-kes yang serius, pembersihan rongga sinus maxillary boleh dijalankan untuk mengalir keluar nanah dan menyuntik ubat anti-radang. Rawatan sinusitis kronik adalah serupa dengan rhinitis alergi. Sekiranya terdapat polip hidung, hipertrofi turbinate tengah, penyimpangan septum hidung, dan sebagainya ; maka rawatan pembedahan mungkin akan menjadi pilihan yang perlu dipertimbangkan oleh pesakit.
Cuaca dingin, debu, rhinitis alergi dan rhinitis vasomotor
Kes Kajian 2 :
Saya menghadapi masalah rhinitis sejak zaman kanak-kanak. Setiap kali cuaca menjadi sejuk, saya akan terus bersin dan mengalami masalah hidung berair. Walau bagaimanapun, selepas seketika, keadaan akan bertambah baik, jadi saya sudah terbiasa dengan masalah begini.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masalah rhinitis seolah-olah bertambah serius. Saya akan bersin dan mengalami hidung berair hampir setiap pagi. Ia menjadi normal lagi apabila cuaca kembali ke suhu yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, agak kerap terdapat lendir hidung mengalir ke kerongkong, menyebabkan ketidakselesaan kerongkong, garau, dan sakit kerongkong. Terutama apabila saya bangun di tengah malam atau bangun pada waktu pagi, saya berasa kekeringan dan kesakitan di bahagian tekak. Saya perlu minum air untuk melegakan ketidakselesaan itu.
Beberapa hari yang lalu, ketika saya melakukan kerja-kerja rumah, saya telah banyak menghisap debu, lalu mengalami bersin dan hidung berair, akhirnya saya merasa sakit tekak juga. Gejala-gejala ini berlangsung selama dua atau tiga hari. Situasi seperti ini akan pulih dengan cepat pada masa lalu, tetapi kali ini ia berterusan untuk jangka masa lebih lama. Ia benar-benar mengganggu kehidupan harian saya.
Soalan: Mengapa rhinitis berlaku? Adakah ia berkaitan dengan tabiat makan pesakit? Adakah terdapat cara untuk memperbaiki keadaan pesakit?
Gejala-gejala yang dijelaskan mungkin berkaitan dengan sindrom rhinitis alergi dan rhinitis vasomotor.
Penyebab rhinitis alergi ialah pendedahan terhadap alergen. Alergen biasa – hama-hama yang didapati di dalam cadar tempat tidur, rambut haiwan peliharaan dan dander, debunga tumbuhan, atau makanan tertentu.
Rhinitis vasomotor disebabkan oleh perubahan suhu udara persekitaran ( secara relatif gejala-gejalanya didapati lebih teruk pada waktu pagi yang sejuk. Sekali suhu cuaca menjadi lebih tinggi pada pertengahan hari, keadaan pesakit boleh bertambah baik), penyakit ini juga dipengaruhi oleh faktor emosi atau pendedahan kepada bau tertentu yang mengganggukan pesakit (disebabkan oleh minyak wangi, rokok, cat, alkohol, atau makanan pedas)
Kedua-dua jenis penyakit rhinitis – rhinitis alergi dan rhinitis vasomotor menunjukkan gejala yang agak sama, misalnya hidung berair, hidung tersumbat, bersin, dan sebagainya. Apabila keadaan pesakit bertambah teruk, ada kemungkinan hidung menetes (mengalir dari hidung ke kerongkong), menyebabkan lendir hidung mengalir ke tekak, akhirnya menyebabkan ketidakselesaan, batuk, gatal-gatal di kerongkong, dan bahkan keradangan tekak. Pada masa yang sama, disebabkan kehadiran hidung tersumbat, pesakit-pesakit akan menggunakan mulut untuk pernafasan mereka semasa tidur, akhirnya mengakibatkan kekeringan dan ketidakselesaan kerongkong.
Dari segi rawatan, pesakit perlu memberi perhatian kepada persekitaran rumah dan tempat kerja mereka, demi mengelakkan pendedahan alergen atau faktor-faktor gangguan yang menyebabkan rhinitis:
- Mencuci cadar dari masa ke semasa (disyorkan untuk mencuci sekali seminggu) dan rendam dalam air panas selama beberapa minit untuk menghapuskan hama-hama.
- Elakkan suhu penghawa dingin yang terlalu rendah
- Cuba mengurangkan penggunaan detergen
- Jika persekitaran kerja tidak dapat mengelakkan asap, gas kimia atau habuk, maka pesakit mesti memakai topeng pelindung.
- Selain menghindari makanan pedas, jika pesakit tahu bahawa mereka sensitif terhadap makanan tertentu, mereka harus mengelakkannya sebanyak mungkin.
Pada masa ini, beberapa hospital kerajaan (termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya) telah mula menawarkan perkhidmatan ujian alergi yang boleh mengenalpasti alergen-alergen pesakit, termasuk apa jenis makanan yang membawa kesan alergi.
Sekiranya gejala-gejala pesakit tidak bertambah baik selepas menukar gaya hidup, maka dia perlu bergantung kepada ubat untuk mengawal keadaan penyakit. Sudah tentu, adalah disyorkan bahawa doktor mesti membuat diagnosis muktamad sebelum menggunakan apa-apa ubat. Ubat-ubatan yang biasa digunakan termasuk anti-histamine oral, dekongestan hidung dan semburan steroid hidung.