Demam Denggi
Bagaimana membezakan dan mendiagnosis gejala demam denggi dan demam tinggi biasa?
Demam denggi adalah sejenis penyakit berjangkit yang sangat biasa di Malaysia. Ia merebak di kalangan orang ramai melalui gigitan nyamuk bawaan vektor (Aedes aegypti dan Aedes albopictus). Virus demam denggi tergolong dalam keluarga Flavivirus dan boleh dibahagikan kepada 4 serotipe. Tempoh inkubasi demam denggi adalah 4 hingga 7 hari, dan tempoh penyakit boleh dibahagikan kepada 3 fasa: demam, tempoh kritikal, dan pemulihan.
Gejala-gejala biasa termasuk demam, 2 hingga 7 hari, muka merah, ruam kulit, otot sakit, sakit sendi, sakit di belakang bebola mata, muntah-muntah dan sakit kepala. Sesetengah pesakit juga mengalami sakit tekak, keradangan konjunktiva dan sebagainya. Jangkitan virus atau bakteria lain juga boleh menyebabkan gejala yang sama. Oleh itu, tidak mudah membezakan demam tinggi yang disebabkan oleh virus lain. Jika pesakit mempunyai demam yang tinggi selama lebih dari 3 hari dan bersama-sama dengan sakit otot dan sendi, tetapi tiada gejala keradangan tekak atau jangkitan bakteria lain, maka pesakit yang terlibat perlulah berhati-hati.
Di samping diagnosis klinikal, doktor juga boleh mengasingkan virus demam denggi melalui ujian darah; pengesanan antigen virus atau antibodi khusus ( serologi ). Doktor boleh juga menggunakan kit ujian cepat untuk mendiagnosis demam denggi. Walau bagaimanapun, kaedah pemeriksaan cepat ini mempunyai kelemahannya, kerana sungguhpun hasil ujiannya memberi keputusan negatif, ia tidak bermakna pesakit adalah 100% bebas daripada jangkitan demam denggi. Sesetengah klinik dilengkapi dengan penganalisis darah yang boleh mendiagnosis penyakit melalui ujian sel-sel darah. Sel darah putih dan indeks platelet akan didapati menurun akibat demam denggi. Terutama semasa fasa kritikal demam denggi, pada peringkat ini, demam yang tinggi mula menurun, dan pesakit akan tersilap berfikir bahawa keadaannya telah bertambah baik, tetapi saat ini adalah tahap di mana platelet menurun secara dramatis.
Masih tiada penawar untuk penyakit demam denggi. Apakah jenis bantuan yang boleh diberikan oleh doktor kepada pesakit?
Pesakit dengan keadaan ringan sahaja, hanya perlu menjalani rawatan simptomatik, mengambil Paracetamol untuk mengendalikan demam, mendapat rehat yang mencukupi setiap hari, yang paling penting, minum air secukupnya, dan mengekalkan tabiat kencing yang baik, serta menerima pemeriksaan klinikal dan analisis darah untuk memantau keadaan badan. Pesakit tidak boleh menggunakan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs). Doktor klinik akan mengikuti dan memerhatikan pesakit setiap hari jika terdapat tanda-tanda amaran berikut:
Pantau dan perhatikan pesakit yang memberi tanda-tanda amaran berikut:
- Sakit abdomen.
- Muntah berterusan, cirit-birit (3 kali atau lebih dalam 24 jam).
- Pengumpulan cecair (seperti asites, effusi pleura, dan lain-lain).
- Pendarahan spontan.
- Kerengsaan / kekeliruan.
- Kesakitan hati.
- Peningkatan pesat kepekatan darah dan penurunan pesat platelet. Pesakit perlu dihantar ke hospital dengan segera.
Walau bagaimanapun, keadaan demam denggi boleh merosot lagi kepada tahap Demam Hemoragik Denggi pada bila-bila masa, di mana ia akan membawa pendarahan usus, pendarahan rahim, hematuria, sindrom kejutan denggi, dan lain-lain, seterusnya menyebabkan komplikasi serius seperti kegagalan organ berganda akut.
Apa yang perlu dilakukan pesakit, jika wanita hamil dan kanak-kanak mengalami demam denggi?
Jika wanita hamil dijangkiti virus demam denggi, mereka mesti dihantar ke hospital dengan segera.
Kerana peluang keguguran adalah sangat tinggi semasa peringkat awal kehamilan, dan jika ibu hamil dijangkiti semasa trimester kedua, kemungkinan kelahiran pramatang juga meningkat. Sekiranya bayi dilahirkan semasa jangkitan demam denggi ibunya, terdapat risiko pembekuan darah, terutamanya dalam kes-kes pembedahan caesar.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami demam denggi didapati berada dalam keadaan yang stabil, sekiranya tidak ada tanda-tanda amaran atau pendarahan, masih ada selera makan yang baik, pembuangan kencing yang biasa, dan ada penjaga yang mempunyai pengetahuan yang baik untuk mengendalikan demam, maka kanak-kanak yang dijangkiti itu, tidaklah perlu dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang dijangkiti mesti pergi ke klinik setiap hari untuk mendapatkan pemeriksaan doktor, sehingga mereka berjaya melalui fasa kritikal demam denggi dengan selamat.
Kanak-kanak perlu dimasukkan ke hospital jika:
- Gejala-gejala amaran hadir
- Bayi dijangkiti
- Kanak-kanak dengan penyakit kronik (diabetes, kegagalan buah pinggang, ada masalah sistem imun, dan lain-lain)
- Faktor sosial (terlalu jauh dari hospital, masalah lalu lintas, dan lain-lain)
Mengapa pesakit penyakit buah pinggang dikategorikan sebagai kumpulan demam denggi yang berisiko tinggi?
Kenapa pesakit penyakit buah pinggang dianggap sebagai kumpulan demam denggi berisiko tinggi?
Risiko yang tinggi di sini tidak bermakna pesakit buah pinggang lebih terdedah kepada jangkitan demam denggi. Pesakit buah pinggang, apabila dijangkiti virus demam denggi, mereka lebih cenderung menghadapi pelbagai komplikasi perubatan, ini mungkin disebabkan oleh sistem imun mereka yang lemah.
Selain itu, pesakit dialisis tidak boleh membuang air kencing atau minum air dengan banyak, ini akan menjadi satu cabaran besar semasa rawatan demam denggi.
Bolehkah demam denggi membawa kepada kegagalan buah pinggang dan hati?
Dalam kes-kes demam denggi, kebanyakan pesakit akan pulih sepenuhnya. Hanya segelintir pesakit yang menderita sindrom kejutan denggi, di mana mereka akan mengalami penurunan tekanan darah yang cepat, akhirnya mengakibatkan kegagalan beberapa organ, termasuk buah pinggang dan hati.
Adakah demam denggi menyebabkan sekuel di buah pinggang? mengapa?
Salah satu komplikasi demam denggi ialah kecederaan buah pinggang akut, yang dahulu dikenali sebagai kegagalan buah pinggang akut. Ini bermaksud fungsi buah pinggang cepat berkurangan semasa peringkat permulaan demam denggi. Di bawah keadaan biasa, fungsi buah pinggang akan beransur pulih setelah jangkitan demam denggi. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes yang serius, fungsi buah pinggang akan terus merosot untuk jangka masa yang panjang, sehingga mengakibatkan kegagalan buah pinggang yang kronik.