Penyakit Tekanan Darah Tinggi / Hipertensi
Bolehkah saya berhenti mengambil ubat tekanan darah tinggi?
Soalan 1: Tekanan darah semasa saya adalah 180 / 95mmHg. Seorang doktor telah mendiagnosis saya mengalami tekanan darah tinggi. Adakah saya perlu mengambil ubat tekanan darah tinggi sepanjang hayat?
Di kalangan orang dewasa yang sihat, tekanan darah sistolik yang direkodkan harus berada dalam lingkungan 120 mmHg atau ke bawah, manakala tekanan darah diastolik patut mendekati atau kurang daripada 80 mmHg. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, apabila tekanan darah sistolik didapati lebih tinggi daripada atau sama dengan 140 mmHg secara berterusan, atau tekanan darah diastolik secara berterusan lebih tinggi daripada atau sama dengan 90 mmHg, maka, individu yang memberi keputusan begini bolehlah dikira menghidapi penyakit tekanan darah tinggi.
Penyakit tekanan darah tinggi (Hipertensi) adalah salah satu penyakit kardiovaskular yang paling biasa. Pada amnya, ia boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu hipertensi utama dan hipertensi sekunder.
Sehingga 90% pesakit hipertensi berkaitan dengan hipertensi jenis utama. Penyebab penyakit ini masih tidak diketahui, dan umumnya ia dikaitkan dengan sejarah keluarga dan keturunan pesakit-pesakit. Hipertensi jenis ini tidak dapat disembuhkan.
Kira-kira 10% daripada pesakit hipertensi dikelompokkan ke kumpulan hipertensi sekunder, hipertensi ini disebabkan terutamanya oleh penyakit tertentu atau perubahan fizikal. Contohnya penyakit buah pinggang, ketaknormalan endokrin, hipertiroidisme, masalah saluran darah di aorta dan sebagainya. Sebaik sahaja penyakit-penyakit ini dapat diatasi sepenuhnya, tekanan darah pesakit akan dipulihkan kepada tahap normal kemudian.
Oleh kerana penyakit tekanan darah tinggi tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, pesakit-pesakitnya hanya boleh mengawal tekanan darah mereka melalui ubat-ubatan secara masa panjang. Di samping itu, mereka juga perlu menukar gaya hidup dan diet mereka. Hipertensi adalah penyakit kronik. Apabila pesakit-pesakit mula mengambil ubat-ubatan, bacaan tekanan darah mereka akan didapati berkurangan kemudian. Walau bagaimanapun, ketika mereka berhenti mengambil ubat, tekanan darah mereka akan kembali ke tahap “pra-perubatan” di mana ia melebihi paras normal sekali lagi. Sebenarnya, pemerhatiaan ini langsung tidak ada kena-mengena dengan mitos orang ramai yang mempercayai peningkatan semula tekanan darah adalah berhubung dengan kesan pergantungan atau ketagihan ubat-ubatan. Sebaliknya, kejadian ini semata-mata kerana hipertensi jenis utama adalah penyakit yang tidak dapat diubati.
Kesihatan pesakit hipertensi mesti dipantau secara teratur, tanpa mengambil kira sama ada pesakit sedang mengambil ubat sekarang atau tidak. Lawatan ke klinik, biasanya dijalankan dalam tempoh masa 3 hingga 6 bulan, bergantung kepada keadaan individu.
Pada masa rundingan, doktor akan melakukan pelbagai jenis ujian untuk pesakit, termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian air kencing, ujian darah, pemeriksaan fundus, elektrokardiogram, dan sebagainya. Tujuan utama adalah untuk memantau keadaan hipertensi, serta mengenalpasti apa-apa tanda komplikasi tekanan darah tinggi serta menjejaki kesan sampingan disebabkan oleh ubat-ubatan. Doktor mungkin akan menyesuaikan dos atau mengubah ubat selepas pemeriksaan tersebut.
Soalan 2: Bolehkah saya berhenti mengambil ubat sebaik sahaja tekanan darah kembali ke paras normal? Saya takut ubat-ubatan akan merosakkan kesihatan badan saya?
Pesakit hipertensi tidak boleh menghentikan penggunaan ubat-ubatan, mengurangkan dos mereka, ataupun menggantikan ubat mereka sendiri. Dengan kata lain, pesakit perlu menggunakan ubat dan tidak boleh berhenti mengambil ubat sungguhpun tekanan darah merela telah kembali ke paras normal. Kenormalan tekanan darah ini sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan sumbangan baik perubatan. Justeru itu, pesakit mesti terus menerima rawatan dengan teratur dan kerap. Sekiranya mereka sewenang-wenangnya menghentikan pengambilan ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor yang sewajarnya, ia boleh menyebabkan hipertensi lantunan ( rebound hypertension ).
Tindakan mengambil ubat secara terputus-putus, akan menyebabkan tekanan darah pesakit berubah secara meluas, akhirnya akan membawa kemudaratan dalam jangka panjang. Selain itu, ia juga akan menyusahkan kerja-kerja penyesuaian dos ubat.
Soalan 3: Saya sedang melihat tekanan darah saya meningkat sekarang, jadi saya mesti mengambil ubat tekanan darah tinggi dengan cepat untuk mengelakkan strok ( angin ahmar ) ?
Komplikasi kesihatan yang dibawa oleh tekanan darah yang melambung, bukan sekadar strok sahaja. Hipertensi berupaya meningkatkan risiko komplikasi-komplikasi lain seperti penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang, penyakit retina, dan sebagainya. Pendek kata, semakin tinggi tahap tekanan darah, semakin tinggi risiko komplikasi hipertensi.
Walaupun pesakit perlu mengurangkan tekanan darah dalam jangka masa panjang, tetapi rawatan tekanan darah tinggi, haruslah bermula dari dos kecil pada awalnya. Kita mesti membiarkan tekanan darah menurun secara perlahan-lahan supaya tubuh kita dapat menyesuaikan diri sehingga mencapai tahap optimum. Adalah agak berbahaya untuk mengurangkan tekanan darah terlalu cepat, terutamanya pesakit-pesakit yang menderita hipertensi yang teruk, tetapi mereka masih tidak mengalami sebarang gejala. Ini adalah kerana pesakit-pesakit begini telah dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan tekanan darah tinggi.Sekiranya tekanan darah dikurangkan dengan cepat, ia akan membawa pelbagai ketidakselesaan seperti pening dan loya, atau menyebabkan kejadian serius kardiovaskular dan serebrovaskular. Dalam amalan biasa, matlamat umum adalah mengurangkan tekanan darah sebanyak 25% dalam tempoh 12-24 jam.
Soalan 4: Adakah benar semakin kurang jenis ubat yang digunakan, semakin kecil kesan sampingan?
Walaupun setiap ubat mempunyai kesan sampingannya tersendiri, ini tidak bermaksud semakin kurang jenis ubat yang diggunakan, semakin kecil peluang mengalami kesan sampingan. Setiap pesakit mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap ubat-ubatan; oleh itu, doktor perlu mengambil sedikit masa untuk mengetahui ubat dan dos yang paling sesuai untuk setiap pesakit. Jika berbanding dengan akibat-akibat yang teruk seperti kecacatan atau kematian, jelaslah bahawa manfaat penggunaan ubat hipertensi, adalah jauh melebihi keburukan berhubung dengan penggunaan ubat-ubatan.
Sesetengah pesakit boleh dipengaruhi oleh saudara-mara dan sahabat mereka, di mana mereka cuba membandingkan jenis ubat-ubatan yang diberi. Pada hakikatnya, semua pesakit perlu memahami bahawa punca-punca hipertensi adalah kompleks. Tambahan pula, terdapat banyak jenis ubat antihipertensi membawa pelbagai jenis tindak balas terhadap pesakit-pesakit. Oleh demikian, garis panduan rawatan adalah berbeza-beza antara satu sama lain dan tidak patut dibanding sama sekali.
Pesakit-pesakit hipertensi perlu memahami bahawa mereka hanya boleh mengurangkan kerosakan organ-organ utama meraka, melalui pengambilan ubat-ubatan secara jangka panjang dan tetap. Hanya sekumpulan pesakit yang kecil sahaja boleh menghentikan ubat-ubatan mereka apabila tekanan darah kembali ke paras yang optimum.
Malah, kebanyakan pesakit-pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat-ubatan mereka sepanjang hayat tanpa berhenti. Pesakit-pesakit mesti kerap membuat rawatan susulan dan juga mungkin perlu mengubahsuaikan pelan-pelan rawatan dari masa ke semasa.
Jika pesakit-pesakit menghadapi sebarang ketidakselesaan selepas pengambilan ubat-ubatan, mereka perlu berunding dengan doktor dengan segera. Sudah tentu, mereka tidak boleh mengubah ubat atau dos mereka tanpa memperolehi kebenaran terlebih dahulu daripada doktor.