Fibroid Uterus & Sista Ovari
Perlukah Rawatan Pembedahan?
Rawatan fibroid uterus pertama bergantung kepada lokasi fibroid, bilangan fibroid, gejala-gejala yang disebabkan oleh fibroid, serta keinginan pesakit. Sekiranya pesakit menghampiri menopaus, maka fibroid tidak perlu dirawat melalui pembedahan. Pemeriksaan dan pemantauan yang kerap adalah dianggap mencukupi. Jika fibroid tumbuh dalam uterus dan menjejaskan kesuburan pesakit, biasanya doktor mungkin akan menyarankan rawatan pembedahan.
Sista ovari dan fibroid uterus adalah masalah ginekologi yang paling biasa. Walaupun mereka tidak mengancam nyawa, mereka masih boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan menjejaskan kualiti hidup.
Ramai pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana takut mengalami kemandulan, disebabkan oleh pembedahan uterus. Oleh itu, pesakit perlu menghapuskan rasa ketakutan dan membetulkan sikap penafian. Pesakit-pesakit harus mengambil berat gejala-gejala sista ovari dan fibroid uterus, demi mengelakkan ketidaksuburan dan meningkatkan kualiti hidup masa depan.
Sista ovari dan fibroid uterus boleh dianggap sebagai tumor benigna. Kebanyakan pertumbuhan ini tidak mengakibatkan kanser.
Sesetengah pesakit yang mempunyai sikap-sikap penafian, berfikir bahawa sista ovari dan fibroid uterus bukanlah sejenis penyakit di mana ia mungkin dapat dihilangkan dalam sebulan. Walaupun mereka menderita kesakitan setiap bulan, pesakit-pesakit masih enggan menerima rawatan, dan berharap gejala-gejala mereka akan hilang selepas menopaus.
Ada pula pesakit-pesakit muda percaya bahawa kesakitan mereka sebenarnya tidak disebabkan oleh sista ovari, malah disebabkan oleh haid, dan mereka menganggap kesakitan haid adalah fenomena biasa, jadi mereka lebih cendurung mencuba akupunktur, terapi tradisional, diet organik atau rawatan-rawatan lain.
Banyak orang bingung dan tidak dapat membezakan antara sista ovari dan fibroid uterus. Sista ovari adalah jisim sista yang dipenuhi dengan air atau cecair, di mana ia biasanya tumbuh di ovari.
Sebilangan besar sista jenis telus akan hilang sendiri, manakala tumor atau sista berisi tidak akan hilang atau menyusut. Sista ovari termasuk folikel, sista dermoid, dan sista endometriotik.
Fibroid uterus, pendarahan haid berlebihan
Fibroid uterus, adalah sejenis tumor benigna otot licin yang melekat dan menyambung ke uterus. Mereka boleh menjadi fibroid tunggal atau fibroid berganda. Biasanya, fibroid uterus tidak berubah menjadi kanser.
Gejala-gejala klinikal yang paling biasa adalah sakit perut, massa perut, dan kekerapan kencing yang lebih tinggi akibat tekanan uretra pada pundi kencing. Ia sering terjadi pada wanita berusia tiga puluhan.
Sista ovari dan fibroid uterus mempunyai gejala-gejala yang berbeza, kebanyakan doktor boleh membuat penilaian daripada simptom klinikal. Misalnya darah haid yang berlebihan dan massa abdomen adalah gejala-gejala lazim berkaitan dengan fibroid uterus, manakala dysmenorrhea ( kekejangan haid ) atau sakit perut kebanyakannya pula disebabkan oleh sista ovari.
Gejala-gejala massa atau ketulan pelvis boleh disebabkan oleh kedua-dua sista ovari atau fibroid uterus. Walaupun kemandulan boleh disebabkan oleh fibroid uterus juga, tetapi kebanyakan kes kemandulan adalah disebabkan oleh sista ovari.
Ujian klinikal dan imbasan ultrabunyi hanya boleh digunakan sebagai diagnosis awal untuk penyakit sista ovari dan fibroid uterus, terutama pada gadis muda tanpa pengalaman seksual. Diagnosis imbasan mungkin tidak jelas, dan doktor biasanya mencadangkan pengimejan resonans magnetik (MRI) kepada pesakit.
Laparoskopi juga boleh digunakan sebagai alat diagnostik. Kamera dimasukkan di dalam abdomen melalui cara invasif minimal, di mana doktor dapat melihat keadaan penyakit dengan jelas. Pesakit perlu diperiksa di bawah anestesia umum.
Sista ovari, rawatan bergantung kepada saiz
Rawatan sista ovari bergantung kepada jenis dan saiz sista. Jika ia adalah jenis sista berdarah yang menyebabkan kesakitan, maka pesakitnya perlu menerima rawatan dengan segera. Sista tunggal atau telus mungkin tidak perlu menerima rawatan kerana sista sebegini akan hilang di masa depan.
Di samping jenis dan saiz sista, keinginan pesakit juga adalah faktor penting yang perlu dipertimbangkan. Kalau seseorang pesakit berusia 40 puluhan mempunyai sista telus tanpa gejala sakit, biasanya kehadiran sista jenis ini akan diabaikan begitu sahaja. Walau bagaimanapun, wanita muda yang ingin hamil tetapi mempunyai sista berganda, umpamanya sista endometriotik, pesakit golongan ini akan dinasihati menerima rawatan pembedahan secepat mungkin.
Pendekatan yang sama juga digunakan untuk merawat fibroid uterus. Tidak semua fibroid uterus memerlukan rawatan pembedahan. Walau bagaimanapun, lebih banyak perhatian harus ditumpukan kepada fibroid uterus bersimtomatik, kerana kebanyakan pesakit lebih cendurung mengambil zat besi setiap bulan atau mengambil makanan mengandungi zat besi setiap hari untuk melegakan masalah anemia mereka, pendek kata golongan pesakit ini tidak mahu menghadapi penyebab sebenar, iaitu pendarahan haid yang berlebihan akibat fibroid uterus.
Kebanyakan fibroid uterus memerlukan rawatan pembedahan, kerana ubat hanya berupaya mengawal pertumbuhan fibroid dan tidak mampu menghilangkan fibroid dengan sepenuhnya. Pesakit yang menolak rawatan pembedahan boleh mempertimbangkan alternatif lain seperti menerima rawatan embolisasi arteri uterus, di mana doktor akan menyuntikkan zarah-zarah melalui kateter kecil untuk membuat sekatan tetap di saluran darah fibroid. Akhirnya fibroid akan secara beransur-ansur mengecil kerana keadaan iskemia. Pembedahan ini boleh dilakukan oleh pakar terapi sinaran.
Rawatan SPRM mengecutkan fibroid uterus untuk masa yang singkat, supaya mengelakkan pembedahan dan mewujudkan peluang kehamilan
Kes Kajian :
Jenny yang berusia 21 tahun adalah seorang wanita muda dan jelita, walaupun pengambilan makanan hariannya yang kecil, dia mempunyai perut yang dikira agak besar.
Baru-baru ini, dia merasakan perutnya bengkak dan tidak selesa, dan dia juga perasan bahawa perut secara beransur-ansur menjadi lebih besar, serupa dengan wanita hamil. Dia fikir ini hanyalah peningkatan berat badan biasa, maka Jenny hanya mengendahkan gejala ini untuk seketika. Akhirnya, disebabkan ketidakselesaan yang berterusan, dia memutuskan untuk mendapatkan pemeriksaan di jabatan obstetrik dan ginekologi.
Selepas doktor melakukan pemeriksaan ultrabunyi dan imbasan tomografi, Jenny terkejut mendapati bahawa dia mempunyai fibroid uterus bersaiz 10 cm, sama besar seperti kepala seorang bayi, di samping itu, ia juga mengesan kehadiran fibroid-fibroid lain dengan pelbagai saiz. Doktor menasihati Jenny menerima rawatan pembedahan secepat mungkin.
Penemuan penyelidikan baru menunjukkan fibroid uterus berkaitan dengan progesteron
Fibroid adalah tumor benigna yang biasa ditemui di klinik ginekologi. Mereka berlaku pada wanita pra-menopaus yang masih berada di lingkungan umur kesuburan. Kadar kejadiannya adalah setinggi 60%. Sekitar 20% daripada mereka mempunyai tanda-tanda yang serius dan memerlukan rawatan.
Gejala-gejala biasa termasuk pendarahan yang tidak normal, pendarahan haid yang berlebihan, dismenorea ( kekejangan haid ), dan bengkak abdomen bahagian bawah. Sesetengah pesakit mengalami gejala anemia akibat aliran darah haid yang berlebihan.
Kadang-kadang fibroid yang terlalu besar boleh menekan tiub bersebelahan seperti pundi kencing dan usus besar sehingga pesakit mengalami gejala seperti kekerapan kencing yang lebih tinggi, sakit kencing, atau sembelit.
Tidak kira sama ada sudah berkahwin atau belum berkahwin atau ada atau tanpa pengalaman seksual, faktor-faktor ini tidak memberi sebarang kesan dari segi risiko penyakit. Biasanya, wanita berkahwin menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap, ini membolehkan mereka menerima rawatan lebih awal terhadap fibroid uterus.
Ramai wanita mengetahui kehadiran fibroid uterus kerana ujian kesihatan pra-perkahwinan, pra-kehamilan atau ujian prenatal. Kadang-kadang fibroid uterus mungkin dijumpai semasa imbasan ultrabunyi kehamilan.
Penyebab fibroid uterus tidak boleh dikenalpasti setakat ini, ia mungkin berkaitan dengan hormon-hormon wanita. Untuk seketika, para penyelidik telah lama percaya bahawa kejadian fibroid uterus adalah disebabkan oleh estrogen, oleh sebab itu, wanita dinasihati mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen dan juga memotong penggunaan suplemen-suplemen mengandungi estrogen, namun penyelidikan terkini menunjukkan bahawa fibroid uterus adalah berkait rapat dengan progesteron.
8/1000 – Asia mempunyai kadar penyakit yang lebih rendah
Orang-orang Asia hanya mempunyai kadar penyakit sebanyak 8 orang pesakit setiap 1000 orang umum. Kadar Ini boleh dianggap agak rendah, berbanding dengan benua-benua lain , di mana ada lebih banyak penduduk berkulit putih dan hitam. Kumpulan-kumpulan pesakit di luar Asia ini juga didapati berusia lebih muda. Kadar penyakit berulang selepas rawatan juga mencapai tahap yang lebih tinggi, berbanding dengan pesakit-pesakit di Asia. Mungkin perbezaan ini berpunca daripada genetik.
Terdapat kajian mendapati bahawa semakin awal haid pertama datang, semakin tinggi risiko fibroid uterus. Di sisi lain, semakin tinggi kesuburan seseorang wanita, semakin rendahnya peluang mendapatkan fibroid uterus. Wanita yang tidak pernah melahirkan bayi didapati mempunyai kadar penyakit yang lebih tinggi.
Faktor-faktor risiko fibroid uterus termasuk obesiti, tekanan darah tinggi, alkohol dan kafein, tetapi perokok mempunyai risiko yang lebih rendah kerana nikotin dalam tembakau boleh melambatkan peredaran darah, oleh itu, ia tidak dapat tumbuh apabila bekalan darah ke fibroid berkurangan.
Diagnosis fibroid uterus termasuk pemeriksaan ultrabunyi dan laparoskopi. Pengimejan resonans magnetik (MRI) sering digunakan untuk diagnosis pra-operasi.
Apabila saiz fibroid uterus didapati terlalu kecil. Rawatan mungkin tidak diperlukan
Fibroid uterus tidak semestinya memerlukan rawatan pembedahan. Doktor akan menilai rawatan yang diperlukan berdasarkan saiz, bilangan, dan lokasi fibroid. Di samping pembedahan dan rawatan ubat. Sesetengah fibroid uterus didapati bersaiz agak kecil, dan tidak menjejaskan otot organ-organ lain, maka fibroid sebegini boleh diabaikan, selagi ia diperhatikan atau dipantau secara teratur.
Segelintir orang mungkin bimbang bahawa fibroid uterus akan berubah menjadi kanser jika ia tidak dikeluarkan. Malah, pesakit harus merasa lega bahawa kebarangkalian fibroid uterus menjadi kanser adalah sangat rendah, iaitu hanya satu kes untuk setiap ribu pesakit. Sekiranya ia diuji dengan kerap, dipercayai bahawa fibroid uterus tidak mempunyai risiko tinggi berubah ke kanser.
Fibroid uterus tidak akan hilang sepenuhnya, jadi jika fibroid terlalu kecil, doktor biasanya tidak mengesyorkan penggunaan ubat. Walaupun pada masa kini, ubat-ubat memberi kesan sampingan yang sedikit serta mempunyai keberkesanan yang baik, tetapi pesakit mesti terima hakihat bahawa ubat-ubat masih tidak boleh menghilangkan fibroid dengan sepenuhnya.
Lebih-lebih lagi, ubat-ubatan perlu diambil secara teratur setiap hari dan pesakit mesti mengikut prosedur perubatan dengan sikap berdisiplin. Ini merupakan satu beban yang memberi tekanan kepada ramai pesakit. Sekiranya rawatan ubat boleh dielakkan, lebih baik pesakit tidak mengambil sebarang ubat langsung.
Di samping itu, doktor akan menentukan rawatan berdasarkan keinginan pesakit-pesakit, seperti rancangan pesakit untuk mendapat kehamilan.
Perlu pembedahan atau tidak, posisi fibroid uterus adalah kunci keputusan
Posisi fibroid uterus biasanya dikelaskan berdasarkan angka 0 hingga 7, biasanya mereka terletak di rongga uterus. Kebanyakan fibroid uterus di posisi 0 hingga 2 disyorkan menerima pembedahan untuk menyelesaikan masalah pendarahan haid yang berlebihan, dysmenorrhea ( kekejangan haid ), dan juga ketidaksuburan.
Kadangkala posisi 3 berhampiran uterus, yang merupakan fibroid yang tumbuh di antara dinding otot dan berhampiran endometrium, fibroid jenis ini juga patut dikeluarkan. Terdapat pelbagai operasi boleh dipilih, di mana pesakit biasanya digalakkan memilih miomektomi histeroskopik.
Fibroid di posisi 2 hingga 5 tetapi saiznya tidak melebihi 5 cm, ia masih boleh dikawal dengan ubat. Jika saiznya adalah di antara 5 dan 8 cm, tanpa sebarang simptom, doktor juga akan mencadangkan pesakit tidak perlu menerima apa-apa rawatan sementara waktu.
Sekiranya pesakit bimbang tentang masalah pertumbuhan fibroid uterus atau pendarahan haid yang berlebihan, doktor mungkin mencadangkan pesakit menerima rawatan ubat untuk sementara waktu atau memantau fibroid tersebut tanpa menjalani pembedahan.
Uterus menjadi semakin lemah selepas setiap pembedahan
Sesetengah pesakit ada rancangan mendapat kehamilan. Doktor akan mempreskripsikan modulator reseptor progesteron selektif (SPRM) ulipristal acetate sebanyak dua atau tiga kursus rawatan. Jika tindak balasnya disahkan baik atau jumlah pendarahan dapat dikurangkan, doktor akan mencadangkan pesakit mendapat kehamilan secepat mungkin.
SPRM mengganggu fungsi progesteron, ia didapati berkesan mengurangkan saiz fibroid, dan menyebabkan kematian sel fibroid, sehingga boleh menunda rawatan pembedahan.
Rawatan ini adalah penyelesaian sementara. Tujuannya adalah untuk mengurangkan saiz fibroid, supaya pesakit boleh dapat kehamilan secepat mungkin, tanpa menjalani pembedahan serta memanjangkan masa untuk kehamilan. Parut pembedahan boleh melemahkan uterus dan menjejaskan kehamilan.
Walaupun ubat memberi respons yang baik, jika fibroid berada di posisi 2 dan menekan rongga uterus sehingga konturnya berubah, doktor akan menyarankan pesakit menerima reseksi histeroskopik fibroid.
Jika masih tiada tindak balas selepas menerima rawatan ubat, pesakit mungkin masih perlu menjalani pembedahan fibroid di masa depan. Pesakit boleh memilih sama ada pembedahan terbuka atau pembedahan invasif yang minimum.
Di Eropah, penggunaan SPRM sebagai rawatan fibroid uterus telah bermula pada tahun 2012, dan Malaysia memperkenalkan dan menggunakannya pada tahun 2016. Setakat ini, para doktor Malaysia telah mendapat pengalaman yang baik dan mereka tidak menerima laporan mengenai kesan sampingan yang serius, sejak rawatan ini diperkenalkan ke negara kita.
Walau bagaimanapun, di Eropah baru-baru ini, ada pakar perubatan telah mencadangkan pemantauan yang tetap dijalankan terhadap wanita yang pernah menerima rawatan SPRM. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan kecederaan hati yang serius.
Kalau tiada rancangan kehamilan – boleh membuat pseudo-menopaus dengan GnRHa
Jika pesakit tidak mempunyai rancangan kehamilan, rawatan akan jadi lebih mudah, di mana doktor akan mempreskripsikan ubat SPRM kepada pesakit. Percubaan klinikal telah menunjukkan bahawa semakin lama rawatan, semakin berkesan pengurangan saiz fibroid, di samping memberi keberkesanan ubat untuk masa yang lebih panjang.
Biasanya, terdapat kira-kira 4 kursus rawatan lengkap. Selepas 12 minggu rawatan, pesakit perlu berhenti selama 2 bulan. Seluruh kursus rawatan makan masa kira-kira 2 tahun. Selepas pesakit selesai rawatan, ubat boleh dihentikan, dan pesakit dipantau secara teratur untuk melihat sama ada sebarang perubahan fibroid berlaku kemudian.
Jika fibroid berulang dengan kehadiran gejala-gejala seperti pendarahan haid yang berlebihan dan kehadiran tekanan perut, maka doktor boleh mempreskripsikan rawatan pesakit secara berterusan. Pada masa ini, terdapat ujian klinikal pada rawatan 8-kursus, tetapi di Malaysia, setakat ini, pihak berkuasa hanya melulus dan membenarkan pesakit menerima 2 kursus pada satu masa.
Sebelum uletristal acetate diperkenalkan, doktor akan mempreskripsikan gonadotropin-releasing agonist hormon (GnRHa) kepada pesakit untuk menimbulkan keadaan pseudo-menopaus, demi mewujudkan tahap estrogen yang rendah melalui halangan mekanisme hormon pituitari dan ovari, supaya pesakit dapat menghentikan pendarahan dan mengawal perkembangan fibroid.
Selepas pesakit menerima GnRHa selama kira-kira 2 bulan, dia boleh membuat keputusan sama ada untuk menerima rawatan pembedahan selepas pengecutan fibroid uterus. Walau bagaimanapun, GnRHa adalah sejenis penyelesaian sementara, apabila kesan pengubatannya hilang, didapati fibroid akan terus berkembang.
Soal & Jawab
Soalan 1: Adakah benar fibroid uterus boleh dikeluarkan semasa pembedahan caesar?
Biasanya doktor tidak akan berbuat demikian, supaya mengurangkan pendarahan semasa pembedahan caesar. Tambahan pula, fibroid uterus mungkin mengecut atau hilang selepas bersalin, oleh kerana perubahan hormon-hormon.
Walau bagaimanapun, apabila lokasi fibroid dan saiznya menjejaskan janin atau operasi, maka doktor akan terpaksa mengeluarkan fibroid bersama-sama.
Soalan 2: Fibroid uterus yang mengalami perubahan kanser boleh dikesan?
Biasanya fibroid uterus yang mempunyai risiko kanser didapati bersaiz besar. Tambahan pula, ia boleh membesar dengan cepat. Fibroid jenis ini sering dijumpai pada wanita yang hampir menopaus. Sesetengah wanita menopaus yang mempunyai pertumbuhan fibroid secara mendadak, didapati mereka mempunyai kemungkinan yang lebih besar memperolehi fibroid berisiko kanser. Jika perlu, doktor akan mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan. Secara umum, kes-kes fibroid uterus berisiko kanser masih boleh dianggap jarang berlaku.
Soalan 3: Apakah kesan sampingan modulator reseptor progesteron selektif (SPRM)?
Rawatan ini membawa perubahan endometrium berkaitan modulator reseptor progesteron (PAEC), atau penebalan endometrium. Oleh itu, rawatan harus dihentikan untuk sementara waktu, supaya endometrium dapat dikeluarkan, jika tidak ia akan meningkatkan risiko pendarahan yang berlebihan akibat penebalan endometrium. Satu kaji selidik baru-baru ini dijalankan untuk mengetahui sama ada rawatan ini terdapat risiko mengakibatkan kecederaan hati yang serius.